KUALA LUMPUR – Jangkaan perbelanjaan sebanyak RM400 juta setahun akan dikeluarkan pihak kerajaan bagi merawat penyakit Kecederaan Paru-Paru Berkaitan Penggunaan Rokok Elektronik (Evali) menjelang 2030.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Analisis Kesan Peraturan (RIA) yang dilaksanakan kementerianya sebelum ini menyaksikan bagi tahun ini sahaja, sekitar RM244.8 juta dibelanjakan bagi merawat penyakit itu.
“Sekiranya ini berterusan, kita terpaksa berbelanja lebih RM300 juta atau RM400 juta setahun menjelang 2030.
“Oleh kerana kementerian tidak mahu pembaziran merawat penyakit disebabkan vape, kita akan mengemukakan Memorandum Jemaah Menteri kepada Kabinet untuk membolehkan vape diharamkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN – Tanjong Karang) mengenai kelewatan KKM sebagai agensi utama menjaga kesihatan awam melaksanakan pengharaman penuh terhadap rokok elektronik.
Dalam pada itu,Lukanisman mendedahkan sebanyak 46 kes Evali dikenal pasti di seluruh negara melibatkan komplikasi serius terhadap paru-paru, manakala 45 kes lain diklasifikasikan sebagai bukan Evali.
Lukanisman menegaskan, walaupun penyakit berkaitan vape masih dalam kajian dengan Kementerian Kesihatan belum mempunyai data terperinci, tindakan proaktif perlu diambil sebelum situasi menjadi lebih serius.-KOSMO! ONLINE.