fbpx
Vivy Yusof dan Fadzarudin ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh IQBAL ROSLI/KOSMO!

Vivy Yusof, suami dibenar dapat pasport ke Turkiye, Bosnia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pengasas FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar untuk mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara bagi membolehkan mereka menghadiri satu program di Istanbul, Turki dan Bosnia.

Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Shaarvin Raaj yang mewakili pasangan berkenaan, untuk mendapatkan pasport mereka bermula hari ini hingga 12 November.

“Mahkamah membenarkan permohonan itu dan pasport diserahkan kepada kedua-dua pemohon hari ini serta dikembalikan kepada mahkamah 13 November ini,” kata Rosli.

Terdahulu semasa prosiding, Shaarvin memaklumkan kedua-dua anak guamnya akan menghadiri program ‘Islamic Historical Retreat to Istanbul-Bosnia with Sheikh Wael Ibrahim’ dari 4 November hingga 11 November 2025.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai permohonan pasport berkenaan dan tidak membantah permohonan pasangan suami isteri tersebut.

Sebelum ini, mahkamah telah membenarkan permohonan Vivy dan suaminya untuk mendapatkan pasport bagi menunaikan umrah pada Disember 2024.

Pada 5 Disember tahun lalu, Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn. Bhd. melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn. Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Damansara, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Justeru lasangan terbabit didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI