PETALING JAYA – Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi selamat tiba di Istanbul, Turkiye sebelum segera bergegas menemui 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Farhan bertemu dengan kesemua aktivis setelah tiba bersama Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
Beliau berkata hampir keseluruhan delegasi dalam keadaan sihat dan akan dihantar untuk pemeriksaan kesihatan sesegera mungkin
“Setiba sahaja di Istanbul, saya bersama Datuk Dr Sani terus bergegas untuk bertemu dengan kesemua anak-anak Malaysia peserta aktivis GSF.
“Alhamdulillah, mereka (aktivis) kelihatan stabil dan bersemangat untuk terus membela perjuangan pembebasan Palestin. Semangat mereka itu sukar untuk saya gambarkan,” katanya.
Tambah Ahmad Farhan, kebanyakan daripada peserta aktivis terpaksa membuang telefon bimbit mereka di lautan kerana risau akan terlepas ke tangan rejim.
“Oleh itu, mereka kini berada di Istanbul jauh daripada keluarga tanpa telefon bimbit.
“Lantaran itu, saya diamanahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu sebaiknya agar permudahkan urusan mereka di Istanbul dan akan segera membawa pulang kesemua anak-anak Malaysia ini ke tanah air dengan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Farhan berkata kepulangan para aktivis kelak bukanlah satu pengakhiran kepada perjuangan menuntut kemerdekaan rakyat Palestin.
Namun katanya bakal menjadi lambang bagaimana negara kecil Malaysia ini utuh prinsipnya dan punyai rakyat yang berani berhadapan dengan kekejaman kuasa besar.
“Pohon doa rakyat dan sahabat semua untuk keselamatan pulang wira dan wirawati negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE