PETALING JAYA – Pelakon Mimi Lana meluahkan kemarahan terhadap rakyat Malaysia yang didakwa menyokong kekejaman Israel dan menegaskan mereka layak digelar sebagai pengkhianat negara.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, habuan yang diperoleh daripada tindakan menggadaikan maruah negara tidak bernilai.
“Rakyat Malaysia yang sanggup jadi tali barut Israel adalah pengkhianat sebenar negara dan bodoh!
“Demi sedikit habuan yang tak seberapa dan tidak berkat itu, kau sanggup korbankan maruah dan tanah air sendiri.
“Tak bersyukur betul dapat hidup dekat Malaysia yang aman damai ini,” katanya dalam Threads.
Dalam pada itu, pelakon filem The Experts itu memaklumkan pengkhianatan tidak mungkin dapat disembunyikan selama-lamanya, malah dia berharap pihak yang terlibat menerima hukuman paling berat.
“Jangan fikir kau akan selamat dan hidup aman sebab pengkhianatan tak akan dapat sembunyi selamanya.
“Semoga hukuman paling berat menanti setiap pengkhianat ini! ‘Shame on you’ (sungguh memalukan),” ujarnya.
Kelantangan isteri kepada pelakon Syafiq Kyle itu dipercayai daripada komen-komen netizen yang berpihak kepada Israel.
Sebelum ini, Mimi antara selebriti tanah air yang sentiasa berkongsi kesedaran mengenai isu Palestin termasuk perjuangan misi emanusian Global Sumud Flotilla (GSF). – KOSMO! ONLINE