ALOR SETAR – Seramai 158 mangsa banjir daripada 48 keluarga masih berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar dan Dewan Serbaguna Pokok Sena sehingga pukul 4 petang ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS SK Langgar dalam daerah Kota Setar adalah seramai 115 orang, manakala di Dewan Serbaguna Pokok Sena dalam daerah Pokok Sena seramai 43 orang.
“Di PPS SK Langgar, mangsa adalah penduduk dari 10 kampung di mukim Langgar dan Limbong antaranya Kampung Alor Raja, Kampung Makam Diraja, Kampung Limbong dan Kampung Alor Setol.
“Bagi PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena, mangsa adalah dari enam kampung dan taman perumahan antaranya Kampung Permatang Limau, Kampung Lahar Dalam dan Taman Puteri,” katanya.
Sementara itu, Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar berada pada paras 1.92 meter, melebihi tahap amaran dengan trend menaik setakat pukul 3 petang tadi.
Sungai Kedah di Ampang Jajar MADA (F2), Kota Setar pula mencatatkan paras air 1.1 meter, melebihi tahap waspada dengan trend menurun sehingga pukul 3.15 petang tadi. – KOSMO! ONLINE