fbpx
Pemandu e-hailing sepenuh masa memandu sekitar 400 hingga 500 kilometer sehari demi mencari nafkah untuk menyara diri dan keluarga. – Gambar hiasan

Budi95 ringankan beban pemandu e-hailing sepenuh masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan baru-baru ini mengumumkan persetujuan untuk memberikan had kelayakan tambahan subsidi petrol kepada pemandu e-hailing sepenuh masa menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95).

Inisiatif berkenaan dijangka dapat memberi sedikit kelegaan kepada golongan pemandu yang setiap hari bergantung kepada kenderaan masing-masing sebagai sumber pendapatan utama.

Majoriti golongan ini bekerja mencari rezeki seawal pagi sehingga lewat malam di jalan raya demi tuntutan perbelanjaan ha­rian mereka sekeluarga dan sudah tentu kos petrol menjadi antara perkara yang perlu diutamakan.

Melalui Budi95, ia bukan sahaja membantu mengurangkan kos penggunaan bahan api dan perbelanjaan harian, malah para pemandu juga boleh memberikan fokus terhadap penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan ketika bertugas.

Terbukti keputusan kerajaan itu mengujakan golongan pemandu e-hailing sepenuh masa yang sudah lama menantikan inisiatif seum­pamanya.

Rata-ratanya menzahirkan rasa bersyukur dan gembira kerana inisiatif tersebut yang disifatkan bukan sahaja membantu meri­ngankan beban harian, malah turut mempamerkan komitmen kerajaan terhadap sektor berkenaan.

Seorang pemandu e-hailing sepenuh masa di sekitar Lembah Klang, Mohd. Saifullah Kamarudin, 44, berkata, subsidi tambahan itu boleh digunakan tanpa mengganggu inisiatif yang diperuntukkan secara individu.

Mohd Saifullah.

“Kalau sebelum ini individu berkelayakan menerima inisiatif sebanyak 300 liter subsidi petrol RON95 sebulan, akan datang pemandu e-hailing sepenuh masa pun akan dapat tambahan khas.

“Jadi, tambahan itu membo­lehkan kami guna untuk urusan kerja tanpa perlu ‘kacau’ peruntukan peribadi. Memang membantu,” katanya kepada Kosmo!.

Bagaimanapun, Mohd. Saifullah berharap, agar pihak syarikat perkhidmatan e-hailing tidak me­laksanakan tambang lebih murah dalam usaha kerajaan untuk memberikan inisiatif terbaik bagi golo­ngan sepertinya.

“Saya berharap agar syarikat-syarikat tidak mengambil ke­sempatan dengan mengadakan tambang murah, apabila kami, pemandu e-hailing ini diberi kelebihan ini oleh kerajaan.

“Kami sangat bersyukur dengan tambahan subsidi ini tetapi mohon kerajaan pantau juga trend ber­kenaan supaya inisiatif berkenaan dapat kami nikmati sepenuhnya,” ujarnya.

Seorang lagi pemandu e-hailing, Badrulhisham Mukhtar, 57, berkata, dia menghargai keprihatinan kerajaan terhadap golongan sepertinya.

Badrulhisham yang mula melibatkan diri dalam bidang ber­kenaan secara sepenuh masa sejak tahun 2019 berkata, ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban per­belanjaannya.

Badrulhisham.

“Kami amat berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan dan ia sememangnya membantu me­ringankan beban.

“Cuma, purata jarak perjalanan kami minimum adalah 400 ke 500 kilometer sehari. Oleh itu, kami berharap jumlah inisiatif berkenaan lebih tinggi kerana kalau 300 liter hanya dapat bertahan untuk lapan ke 10 hari sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Wong Wui Hoong, 50, yang sudah empat tahun berkhidmat sebagai pemandu e-hailing sepenuh masa turut berterima kasih dengan pengumuman berkenaan.

Wui Hoong.

“Inisiatif ini membantu menggurangkan perbelanjaan harian. Ini adalah tanda kerajaan prihatin ter­hadap nasib pemandu e-hai­ling se­penuh masa macam kami,” luahnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerajaan bersetuju memberi pemandu e-hailing sepenuh masa, had kelayakan tambahan subsidi petrol melalui Budi95 sebelum pertengahan bulan ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, bagaimanapun pemandu e-hailing tidak perlu membuat permohonan secara individu.

“Kerajaan akan berurusan de­ngan Syarikat Pengendali e-hailing untuk membuat permohonan secara berkelompok,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini turut berkesempatan menerima kunjungan hormat daripada Pe­ngasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Grab Holdings Inc. (Grab), Anthony Tan bersama delegasi syarikat berkenaan.

Menurut beliau, beberapa perkara telah dibincangkan termasuk pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar Budi95 yang memberi manfaat terus kepada pemandu e-hailing.

“Langkah ini bukan sahaja meringankan beban, malah memperkukuh peranan sektor e-hailing sebagai komponen penting dalam sistem pengangkutan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI