KUALA LUMPUR – “Saya tak tahu macam mana boleh melabur sehingga RM320,000. Macam kena (pukau) pun ada.”
Demikian pengakuan seorang mangsa penipuan pelaburan tahyul membabitkan dana emas dan tunai yang didakwa bernilai puluhan bilion dolar Amerika Syarikat (AS) di luar negara.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Bakri, 45, berkata, dia menyertai skim itu selepas dipelawa seorang rakan yang juga salah seorang ketua pelaburan pada tahun 2022.
“Pada awalnya, saya berdaftar kerana peribadinya (wakil syarikat) yang sangat baik, rupa-rupanya mereka menggunakan imej orang alim dan agamawan untuk memperdaya ahli bagi mengutip dana,” katanya ketika ditemui di Menara KPJ, di sini hari ini.
Bakri yang menetap di Melaka berkata, dia bagaimanapun gagal mendapatkan pulangan sehingga kini selepas membuat pelaburan awal sebanyak RM1,000 untuk menyelesaikan ‘task’ (tugasan).
“Ada banyak tugasan seperti Geneva dan Frankfurt. Sepanjang saya melabur, lebih 10 tugasan saya buat. Jika tidak buat tugasan, mereka akan ugut tidak akan pulangkan modal,” ujarnya.
Bakri berkata, kali terakhir dia berhubung dengan wakil syarikat pada April lalu.
“Dia (wakil) telefon selepas raya minta duit dan saya terus matikan panggilan. Saya harap Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempercepatkan siasatan supaya mereka yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 57 individu kerugian hampir RM8.4 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tahyul.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, penipuan dijalankan sebuah syarikat itu dimiliki seorang lelaki tempatan didakwa bergelar Datuk Seri berusia dalam lingkungan 60-an.
PDRM menerima sebanyak 43 laporan berhubung sindiket itu sejak tahun 2023 dan membuka 15 kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa dilaporkan berkata, pihaknya sudah merekod 40 keterangan berhubung kes itu membabitkan 37 mangsa dan tiga saksi untuk membantu siasatan.
Semakan turut mendapati gelaran Datuk Seri yang digunakan pemilik syarikat berkenaan adalah palsu. – KOSMO! ONLINE