IPOH – Seorang pegawai kanan polis maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Kilometer 287.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Mangsa, Inspektor Muhamad Helmi Hakim Muhamad Raus, 30, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan membabitkan motosikal Honda CBR350RS yang ditunggang mangsa dengan Honda Waze ditunggang lelaki berusia 34 tahun.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati motosikal ditunggang lelaki Orang Asli itu telah dilanggar dari arah belakang oleh motosikal yang ditunggang pegawai polis tersebut.
“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu jatuh di atas jalan raya. Mangsa yang cedera disahkan maut di lokasi kejadian oleh paramedik.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. Dalam kejadian itu, penunggang motosikal lain hanya cedera ringan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE