fbpx
UMIE berkata usaha GSF secara tidak sedar telah membuka mata dan membangkitkan semangat solidariti terhadap bumi Palestin dari seluruh dunia.

‘Sebab itu Allah pilih mereka, GSF kejutkan dunia isu Palestin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Umie Aida menyifatkan kesemua sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai individu yang memiliki semangat luar biasa kerana berani menempuh pelayaran yang penuh mencabar selama sebulan.

Menurut Umie atau Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, usaha GSF secara tidak sedar telah membuka mata dan membangkitkan semangat solidariti terhadap bumi Palestin dari seluruh dunia.

“Apa yang saya suka ialah GSF berjaya buka mata ramai yang sudah terlena sebentar mengenai isu Palestin. Mungkin sebab sudah penat dengan terlalu banyak tindakan tetapi tiada hasil.

“Namun GSF buat satu dunia bangun. Sekurang-kurangnya kita semua sudah lakukan peranan yang sepatutnya.

“Berdoa dan kalau ada duit lebih, lakukan infaq. Usaha ini beri harapan kepada rakyat Gaza bahawa nilai kemanusiaan masih wujud lagi di dunia ini,” katanya kepada Kosmo! Online selepas Majlis Solat Hajat dan Qunut Nazilah untuk aktivis GSF baru-baru ini.

Dalam pada itu, dia memuji kecekalan semua sukarelawan terutama Zizi Kirana, Hazwani dan Heliza kerana disifatkan sebagai individu yang memiliki sifat rendah diri luar biasa.

“Sepanjang saya kenal dan pernah pergi ke beberapa buah negara bersama mereka, tidak pernah sekali pun mereka memilih atau merungut tempat duduk dan sangat merendah diri.

“Sebab itu Allah memilih mereka untuk misi ini. Jika saya berada di tempat mereka, saya tidak mampu bertahan.

“Mereka berjaya melalui sebuah pelayaran selama sebulan di atas bot kecil di Laut Mediterranean yang bergelora. Bukan semua orang mampu melakukannya,” katanya lagi.

Umie menambah, segala kecaman dan kata-kata negatif segelintir pihak terhadap misi tersebut juga tidak perlu dilayan.

“Kalau kita nak dengar yang kecil-kecil (kecaman) itu nanti, tak perlu.

“Tak payah layan, biarlah.

“Ambil yang besar, teruskan semangat dan kita tahu kita buat sesuatu, nawaitu hanya Allah yang tahu,” katanya lagi.

Semalam, kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF selamat tiba di Turki selepas ditahan rejim zionis ketika berlayar di zon merah sebelum memasuki perairan Gaza. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI