KOTA BHARU – Lapan individu termasuk seorang wanita yang ditahan selepas disyaki terlibat kes mengurung dan menculik tiga lelaki di Cherang Ruku, Pasir Puteh minggu lalu disambung reman dua hari.
Perintah lanjutan reman bermula esok hingga Selasa itu dibenarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid ke atas kesemua suspek yang berusia 20 hingga 46 tahun.
Lanjutan reman itu bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan mengikut Seksyen 385, Seksyen 342 dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan lapan individu termasuk seorang wanita tidak sempat joli wang tebusan RM29,000 selepas menculik tiga lelaki apabila ditahan dalam enam serbuan pada 2 Oktober lalu.
Serbuan dilakukan di daerah ini, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat bermula pukul 2 hingga 11 pagi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati, kesemua suspek disyaki menculik dan mengurung mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an di sebuah rumah di Cherang Ruku pada 26 September lalu.
Suspek meminta wang tebusan RM150,000 daripada majikan mangsa untuk membebaskan mereka dan pengadu dikatakan menyerahkan wang RM29,000. – KOSMO! ONLINE