PETALING JAYA – Pengalaman pahit dilalui peserta Global Sumud Flotilla ketika ditahan oleh pihak berkuasa Israel membuka mata dunia terhadap kekejaman dan layanan tidak berperikemanusiaan yang masih berterusan terhadap pasukan aktivis kemanusiaan.
Salah seorang sukarelawan Malaysia, Ilya Balqis berkongsi pengalamannya dan menyifatkan layanan diterima di penjara Israel sebagai sangat menjengkelkan dan tidak berperikemanusiaan.
Katanya, terdapat pelbagai prosedur yang sengaja direka untuk memalukan serta menekan mental tahanan.
“Mereka ada banyak protokol. Kononnya atas nama keselamatan, tetapi sebenarnya hanya untuk membuat kita rasa sangat menjengkelkan dengan diri sendiri,” katanya ketika sesi temu bual bersama media tempatan di Lapangan Terbang Istanbul semalam.
Menurut Ilya Balqis, semua peserta dipaksa menukar pakaian di bawah pengawasan ketat sebelum dibawa ke ruang dapur kecil yang diterangi cahaya putih terang, seolah-olah untuk tujuan menekan emosi.
Lebih menyedihkan, dia memberitahu, para wanita yang bertudung turut menjadi mangsa penghinaan apabila pihak penjara tidak menghormati identiti dan kepercayaan mereka.
“Mereka tidak melayan kami sebagai wanita berhijab. Beberapa daripada kami malah dipaksa menanggalkan tudung,” tegasnya.
Dia turut mendedahkan bahawa mereka tidak diberikan air bersih mahupun ubat-ubatan asas meskipun ada yang memerlukan rawatan segera.
“Apabila kami bertanya tentang ubat untuk seorang wanita yang sakit, mereka menolak.
“Jawapan mereka, ‘jika dia belum mati, maka tidak mengapa”, kamu akhirnya terpaksa minum air dari tandas untuk bertahan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi delegasi negara yang ditahan ketika misi GSF, Hazwani Helmi berkata, mereka bukan sekadar diseksa, malah semua ubat-ubatan dan bekalan penting yang dibawa oleh peserta untuk rakyat Gaza turut dirampas serta dibuang.
“Mereka membuang semua ubat-ubatan kami. Semuanya yang penting. Sehingga hari ini, kami tidak dapat apa-apa. Dunia perlu tahu kekejaman Israel,” katanya.
Ilya Balqis dan Hazwani antara 23 rakyat Malaysia yang berjaya dibebaskan dari tahanan rejim Zionis Israel selepas ditahan dalam misi GSF ke Gaza.
Terdahulu, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan, semua aktivis Malaysia yang terlibat dalam GSF selamat mendarat di Lapangan Terbang Istanbul, semalam.
“Semua delegasi telah diterbangkan dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pukul 6.45 petang waktu Malaysia yang membawa 23 delegasi negara menerusi penerbangan Turkish Airlines dan mendarat di Istanbul jam 8.40 malam.
“Semua delegasi diuruskan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Turkiye dan Wisma Putra serta pihak Kerajaan Turkiye,” katanya.
Sebelum ini, lebih 400 peserta GSF dari pelbagai negara ditahan pihak Israel ketika cuba memecahkan ‘blokade’ laut sejak 17 tahun lalu terhadap Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan termasuk makanan serta ubat-ubatan. – KOSMO! ONLINE
@era.je REJIM ZIONIS BEGITU KEJAM SEKALI!! Allahuakbar… Mereka diletakkan dalam sangkar di bawah panas terik, air besih tidak diberikan dan kena minum air dari tandas 😭 #sharERA ♬ original sound – ERA