SEREMBAN – Seorang murid berusia lapan tahun, V. Vasanth mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai murid pertama di negara ini mempersembahkan gerakan kata karate di atas kasut berpaku selama 10 minit.
Anak tunggal kepada seorang pemandu van sekolah itu melengkapkan lima siri kata iaitu Taikyoku Shodan, Heian Shodan, Heian Nidan, Heian Sandan dan Tekki Sandan dengan penuh kesungguhan walaupun perlu menahan kesakitan pada tapak kaki.
Vasanth yang mula berlatih karate sejak usia tiga tahun berkata, latihan intensif selama setahun menjadi kunci kejayaan tersebut selepas dia berhasrat mencipta kelainan berbanding pencapaian biasa.
“Saya akui cabaran sangat besar sejak hari pertama latihan, tetapi atas keyakinan dan semangat mahu berjaya disokong dengan sokongan keluarga, saya harus kuat mencabar diri,” katanya ketika ditemui.
Minatnya dalam seni mempertahankan diri bukan sahaja melindunginya daripada menjadi mangsa buli, malah membuka jalan ke pelbagai kejayaan termasuk Anugerah Pencapaian Terbaik Kategori Bukan Temasya di peringkat negeri.
Bapanya, K. Vasantha, 41, menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kecekalan anaknya yang berlatih berjam-jam mengatasi rasa sakit.
“Walaupun tiada siapa dalam keluarga pernah terlibat dengan karate, saya percaya setiap anak ada kelebihan tersendiri,” katanya.
Sementara itu, pegawai rasmi MBOR, Siti Hajar Johor, berkata keunikan persembahan itu terletak pada cabaran bilangan pergerakan yang perlu ditempuh oleh Vasanth.
“Rekod ini menonjolkan ketahanan seorang murid kecil yang luar biasa. Ia bukan sekadar tentang masa, tetapi tentang jumlah bilangan pergerakan yang mampu dipersembahkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE