ANKARA – Turkiye merancang menghantar pesawat khas ke Israel hari ini untuk membawa pulang 140 rakyatnya bersama aktivis-aktivis flotila dari Malaysia dan Indonesia yang ditahan oleh Tentera Laut Tel Aviv, lapor portal berita Ynet Global.
Israel dijangka membuka lintasan Jambatan Allenby esok untuk memindahkan puluhan warga Arab Saudi yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk warga Tunisia dan Algeria.
Negara haram itu turut menyediakan pesawat berasingan untuk menerbangkan beratus-ratus aktivis ke Eropah, manakala beberapa warga asing akan dihantar pulang melalui penerbangan komersial biasa.
Tentera Laut Israel memintas kapal terakhir daripada 44 konvoi yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza semalam.
Namun, GSF berhasrat untuk melancarkan satu lagi misi dengan membawa doktor serta wartawan ke Gaza.
Aktivis-aktivis membawa beberapa tan bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan ubat-ubatan untuk penduduk Palestin di Gaza.
Kementerian Luar Israel bagaimanapun mendakwa kapal-kapal itu tidak mengandungi sebarang bantuan selepas pemeriksaan dilakukan.
Mereka yang enggan menandatangani perintah pengusiran akan dihantar ke penjara dan menghadapi prosiding kehakiman sehingga diusir di bawah perintah mahkamah.
Kumpulan aktivis kini ditahan di penjara Ketziot dengan diplomat dari negara mereka cuba memujuk Israel untuk menerima pengusiran secara sukarela. – AGENSI