BALIK PULAU – Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan pecah amanah melibatkan pemindahan wang syarikat bernilai lebih RM1.9 juta, antara tahun 2020 hingga 2023.
Tertuduh, Chuan Chin Ghee, 29, bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, dia yang ketika itu bekerja sebagai pegawai akauntan didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat 231 kali pemindahan wang berjumlah RM1,919,899.55 daripada akaun bank syarikat ke akaun bank miliknya, di Wings Freight Express Sdn. Bhd. di Batu Maung, antara 6 November 2020 hingga 22 Mei 2023.
Tertuduh yang merupakan peniaga kuih bulan itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dengan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tertuduh diwakili peguam, M. Puveneswaran.
Semasa prosiding, Jin Hong memohon jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta dilarang mengganggu mangsa.
Dalam mitigasi rayuannya, Puveneswaran yang mewakili tertuduh memohon jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan anak guamnya itu baru sahaja menimang cahaya mata sulung, dua bulan lalu.
Hakim Ahzal kemudian memutuskan agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan selain menetapkan syarat tambahan seperti yang dipohon Timbalan Pendakwa Raya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 November depan sebagai sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE