KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur akan bertindak sebagai pemudah cara dalam penganjuran Himpunan Sumud Flotilla (HSF) dan Palestin yang dijangka berlangsung di ibu negara, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, bagaimanapun, semua pihak perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan awam terjamin.
“Penguatkuasaan undang-undang adalah untuk menjaga keselamatan serta ketenteraman awam, termasuk kesejahteraan pelancong yang berada di negara ini.
“Kami akan cuba membantu dan memudah cara semua perhimpunan yang dianjurkan seperti mana yang berlaku semalam, hari ini dan akan datang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Fadil, pihak polis sentiasa menghormati kebebasan berhimpun, namun ia perlu mengambil kira kawasan berisiko tinggi melibatkan laluan sesak dan tumpuan orang ramai.
Beliau turut mengingatkan supaya semua peserta dan penganjur memberi kerjasama kepada polis agar perjalanan program berjalan lancar sekali gus mengelakkan insiden yang tidak diingini.
“Perhimpunan seperti ini melibatkan kawasan awam. Jadi semua pihak perlu bertanggungjawab dan patuh kepada peraturan,” ujarnya.
Fadil berkata, polis tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan atau melanggar undang-undang.
“Kita bukan menentang penganjur, sebaliknya ingin memastikan perhimpunan berjalan lancar. Ini adalah untuk kebaikan mereka yang menyertai perhimpunan termasuklah orang awam yang lain.
“Sekiranya ada pihak yang tidak mematuhi undang-undang, saya akan ambil tindakan. ‘There is no excuse’ (tiada alasan),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE