PETALING JAYA – Keluarga sukarelawan Malaysia yang menyertai konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) merayu agar semua aktivis yang ditahan rejim Zionis ketika berada di zon merah semalam, diselamatkan segera.
Kesemua 23 sukarelawan Malaysia ditahan selepas kapal yang dinaiki dikepung dan diserbu tentera laut Israel di perairan antarabangsa, malah ada kapal flotila yang dibedil meriam air.
Ketika ini, mereka langsung tidak mengetahui status dan keadaan terkini isteri, suami, anak serta ahli keluarga masing-masing dan di mana lokasi mangsa telah ditahan.
Setiap masa dilalui penuh debaran sehingga tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam.
Mereka hanya mengetahui perkembangan terkini daripada Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) yang sentiasa menyalurkan maklumat.
Kerajaan pula giat menggunakan saluran diplomatik bagi memastikan semua sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel dibebaskan dengan segera.
Suami Zizi Kirana, pelakon Yusuf Bahrin berkata, dia tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam.
Muhammad Yusuf Bahrin, 33, berkata, kali terakhir berhubung dengan Zizi pukul 1 pagi semalam sebelum komunikasi terputus.
“Kita sama-sama tak tidur malam ini. Saya rasa Zizi dah buang telefon sebab tak dapat nak hubungi dia dah, saya cuba mesej dan call dia.
“Status kapal Zizi kali terakhir adalah kecemasan. Setakat ini saya cuba sedaya upaya untuk kuatkan semangat di sini, doa banyak-banyak,” katanya.
Yusuf turut sebak memaklumkan penduduk Gaza sudah menunggu di tepi pantai bagi menyambut kehadiran GSF.
Sementara itu, pelakon Nadzmi Adhwa masih ternanti-nanti kemas kini terbaharu keadaan isterinya, Ardell Aryana.
Katanya, dia tidak dapat melelapkan mata hingga kini kerana risau memikirkan Ardell.
“Saya tak tidur sejak malam tadi tetapi dalam masa sama menunggu. Saya masih menanti kemas kini terbaharu daripada pihak yang berkaitan,”
katanya.
Katanya, pihak SNCC telah menghubunginya dan meminta untuk hadir ke pusat tersebut bagi memantau keadaan semasa kapal dinaiki isterinya ketika ini.
Difahamkan, kali terakhir Ardell berkongsi perkembangan adalah ketika kapal Mikeno yang dinaikinya diserang rejim Zionis sekitar 6 pagi kelmarin (waktu tempatan).
Adik kepada penyanyi Zizi Kirana, Nurul Nazielah pula yakin, kakaknya seorang wanita tidak mudah patah semangat walaupun berada dalam tahanan tentera Israel ketika ini.
Nurul yakin kakaknya yang menaiki kapal Huga dalam misi kemanusiaan GSF itu mampu bertahan dan terus kuat menghadapi dugaan getir tersebut.
“Kakak, tolong kuatkan diri dan saya tahu awak kuat. Saya nak awak kuat, bertahan kak,” katanya dalam hantaran di Threads.
Suami Heliz, Datuk Mahadi Badrul Zaman, 41, pula memohon doa orang ramai selain reda dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah demi perjuangan kemanusiaan.
“34 jiwa dari Malaysia belayar membawa misi kemanusiaan. Salah satunya zaujahku, Heliza.
“Teruskan berdoa lebih dari biasa, semoga semuanya selamat sampai dan pulang dengan kemenangan.
“Wahai rakyat Malaysia, jangan putuskan doa kita buat para pejuang kemanusiaan GSF,” katanya.
Pelakon Yatt Hamzah pula mendedahkan, tiga hari lalu suaminya iaitu Mohd. Zulfadhli Khiruddin sebelum ini ada menitipkan wasiat buat dirinya.
Meski berdebar menanti berita mengenai Zulfahdli, Yatt merasakan situasi yang berlaku ketika ini adalah ujian buat dirinya, suami dan orang ramai.
“Tiga hari lalu juga, suami ada tinggalkan pesanan dan kongsi tentang wasiat dengan saya. Tidak tahulah dia bergurau atau sebaliknya.
“Katanya, kalau jadi apa-apa, jagakan ibu bapanya dan anak-anak. Saya lebih kepada tertanya-tanya sebab ini kali pertama dia tinggalkan wasiat.
“Tapi saya cakap padanya, dia kena balik dengan selamat ke tanah air dan pesan jangan risaukan keadaan di sini, semuanya dalam jagaan Allah. Dia hanya perlu fokus pada misi dan jaga kesihatan,” katanya.
Lebih 200 sukarelawan GSF dari pelbagai negara dilaporkan telah ditahan rejim zionis Israel. -KOSMO! ONLINE















