LONDON – Prinsipal Mercedes, Toto Wolff naik angin dengan spekulasi liar kononnya Kimi Antonelli bakal meninggalkan pasukan itu menyertai Williams atau Alpine musim depan.
Wolff menyifatkan dakwaan tersebut sebagai karut semata-mata dan menegaskan masa depan pemandu muda Itali itu tetap bersama pasukan tersebut.
Antonelli, 19, melalui musim sulung yang tidak menentu bersama Mercedes apabila kerap melakukan kesilapan dan hanya berjaya mengutip mata sebanyak tiga kali sejak podium di Montreal pada Jun lalu.
“Spekulasi mengenai Alpine dan Williams adalah karut. Dia akan kekal di sini 100 peratus pada 2026,” tegas Wolff.
Antara prestasi terbaik Antonelli musim ini hadir di Grand Prix Azerbaijan dengan menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan selepas itu terus bergelut mendapatkan mata.
Ketika ini, kontrak Antonelli dan rakan sepasukan, George Russell bakal tamat penghujung musim ini hingga mencetuskan pelbagai spekulasi.
Ia termasuk menukar Antonelli dengan pemandu Williams sekali gus membuka ruang kepada Carlos Sainz kembali ke pasukan besar.
Alpine turut dikaitkan dengan Flavio Briatore dan dilapor sedang menimbang untuk membawa masuk Franco Colapinto atau Jack Doohan untuk musim 2026. – AGENSI