SEPANG – Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) membayangkan kesemua 44 buah kapal konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak akan berjaya mendarat di pantai Gaza.
Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Halim berkata, gambaran itu dibuat berdasarkan corak pintasan dibuat oleh tentera Israel terhadap kapal flotilla itu ketika ini.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata, sama ada lambat atau cepat, kapal yang menyertai misi kemanusiaan itu pasti akan dipintas oleh tentera Israel.
“Saya membuat perangkaan bahawa keseluruhan kapal ini akan cepat ataupun lambat akan dipintas atau diarah untuk mengikut laluan yang ditetapkan.
“Oleh kerana ini adalah bukan misi keganasan, kita terima dan berunding dengan pihak tentera Israel melalui radio.
“Malah, mereka (tentera Israel) juga bercakap dengan baik dengan peserta kerana dunia melihat situasi genting ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE