SEPANG- Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang bakal memasuki zon merah pada malam ini terus menjadi tumpuan pengamal media apabila rata-rata mereka mula berkumpul di Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di sini bagi berdepan sebarang kemungkinan.
Rata-rata pengamal media terlibat menyifatkan pelayaran kemanusiaan itu kini memasuki fasa kritikal pada malam ini yang mana pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk dipintas Israel.
Menurut seorang pengamal media, Nurayuni Johari, pelayaran konvoi GSF yang memasuki zon merah malam ini sebagai fasa kritikal berdasarkan apa yang terjadi kepada kapal bantuan kemanusiaan sebelum ini termasuk Mavi Marmara.
“Jadi, saya merasakan satu keperluan kepada pengamal media untuk terus bersiap sedia di SNCC bagi menyalurkan maklumat tepat dan sahih mengenai pelayaran GSF kepada rakyat.
“Kami merasakan pelbagai kemungkinan boleh berlaku kepada GSF di zon merah selepas SNCC mengesahkan wujud cubaan intimidasi daripada kapal tentera yang diyakini milik pihak rejim,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini tadi.
Sementara itu, bagi Fuad Nizam, beliau mengambil keputusan berkampung di SNCC bagi memastikan maklumat terkini diperoleh daripada pihak sekretariat memandangkan berbaki lebih sejam sebelum GSF memasuki zon merah.
“Saya memuji usaha SNCC yang komited menyediakan laporan kemaskini berkala, meskipun berdepan cabaran komunikasi dan logistik di perairan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Amanina Mohamad Yusof menyifatkan, komitmen ditunjukkan pihak sekretariat SNCC telah memudahkan pihak media menyalurkan maklumat terkini, sekaligus menangkis persepsi atau pendapat tidak sahih pihak tertentu.
“Laporan disampaikan tidak hanya menyalurkan maklumat, malah memperlihatkan sisi kemanusiaan yang menyentuh hati, khususnya penderitaan rakyat Gaza yang menjadi tumpuan utama misi tersebut.
“Ini secara tidak langsung memperkukuh tanggungjawab media untuk terus memberi liputan menyeluruh terhadap krisis kemanusiaan global serta dapat memberi tekanan moral kepada komuniti antarabangsa untuk bertindak lebih tegas,” katanya.
Untuk rekod, konvoi GSF yang disertai lebih 23 daripada 34 sukarelawan Malaysia bakal memasuki zon merah kira-kira pukul 9 malam ini bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza. – KOSMO! ONLINE