SAYA pernah berkesempatan memancing di rumah rakit di Kampung Air Ganda, Perak. Rumah rakit ini saiznya dalam 18 kaki (5.8 meter) x 10 kaki (3 meter) tetapi ia berbumbung, dan diparkir di kawasan yang menjadi laluan ikan iaitu alur sungai lama sebelum tempat ini menjadi empangan.
Rumah rakit ini juga bukannya untuk komersial tetapi lebih kepada penggunaan peribadi sahaja.
Dari jeti, kami mengambil masa setengah jam sahaja untuk sampai ke rumah rakit. Kemudian, tekong meninggalkan kami untuk pulang mengambil barangan lain, sebelum kembali semula ke rumah rakit untuk menemani kami.
Sememangnya kami hanya bersantai dalam trip ini dengan pancingan dasar menjadi agenda utama. Hasil juga boleh tahan seperti ikan baung, tengalan, tilan, selat dan belida.
Pada waktu malam, tekong membawa bot keluar, dan dari kejauhan boleh kelihatan dia memasang lampu limpah bercahaya hijau untuk menarik perhatian ikan-ikan kecil.

Menggunakan satu tangguk besar, dia menangkap ikan bilis air tawar yang dipanggil ‘ikan renik’. Saya juga baru pertama kali melihat kegiatan seumpama itu dan rupa ikan tersebut.
Keesokan hari, selepas sarapan, Amran dan Hairi mengikut tekong keluar untuk mengilat toman atau sebarau, namun mereka pulang tanpa apa-apa hasil. Kami sambung memancing dari atas rumah rakit dengan hasil pelbagai jenis ikan sehinggalah pulang keesokannya.
Sayang, rumah rakit ini telah terbiar dan dirobohkan pemiliknya.
Saya dapat melihat potensinya sebagai satu tarikan yang boleh menjana pendapatan penduduk kampung jika dapat diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
Hal ini kerana populasi pemancing negara semakin lama semakin bertambah.














