fbpx
Mak Yah dibantu pasukan SAR selepas ditemui kira-kira 100 meter dari pusat kawalan operasi bomba.

Mak Yah selamat, dakwa ada orang ajak berehat, diberi makan kari ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – “Mak kata ada orang ajak berehat, siap diberi makan kari ayam,” kata Hanisah Saiman, 40, anak kepada warga emas, Zoiyah Ismail, 73, atau mesra dipanggil Mak Yah yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari sayur di kebun sawit di Chabau, petang semalam.

Hanisah berkata, ibunya itu ditemui selamat kira-kira pukul 10.45 pagi oleh penduduk kampung selepas tiba-tiba muncul dari sebuah bangunan tinggal yang dikenali sebagai ‘ofis lama’ di dalam kebun berkenaan.

“Mak cerita, semalam selepas cari sayur dia masuk semula ke kebun cari parang yang mungkin tertinggal, tapi hari semakin gelap dan dia tersesat.

“Katanya ada lelaki dan perempuan tidak dikenali yang ajak dia berehat di ‘ofis lama’ itu, ajak ‘tidur hotel’, mak juga kata dia diberi makan kari ayam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Hanisah, ibunya turut menyedari pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berada berhampiran lokasi malam tadi, namun tidak berani keluar kerana menyangka ia mungkin mengundang bahaya.

“Office lama dengan pusat kawalan operasi bomba ni kira-kira 100 meter. Mak kata dia nampak orang suluh lampu, tapi tak berani keluar sebab tak tahu itu pasukan SAR dan orang kampung kata dah cari dalam tu, mungkin tak perasan atau tak nampak.

“Saya cuma risau takut mak masuk ke ‘alam lain’ sebab kawasan kebun itu memang keras, terutama di bahagian kolam yang memang diketahui penduduk,” ujarnya.

Tambahnya, ketika ditemui ibunya itu sempat meluahkan rasa terkejut dan menyangka sebuah majlis kenduri sedang diadakan ekoran melihat orang ramai berada lokasi pencarian.

Hanisah berkata, warga emas berkenaan telah dibawa ke Hospital Jasin untuk pemeriksaan lanjut dan menerima rawatan titisan intravena (IV drip).

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Penguasa Bomba Kanan II, Noorsyahlan Omar mengesahkan warga emas itu ditemui selamat pada pukul 11.07 pagi di lokasi tidak jauh dari pusat kawalan operasi bomba. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI