SEREMBAN – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Sembilan mendesak pihak berkuasa melaksanakan audit keselamatan menyeluruh terhadap semua infrastruktur sekolah terutamanya di negeri ini dan seluruh negara.
Naib Pengerusi 1 GPMS Negeri Sembilan, Muhammad Hakim Mohd Zain berkata, ia susulan insiden tragis seorang murid lelaki sembilan tahun yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng baru-baru ini.
Katanya, kejadian itu menimbulkan persoalan serius mengenai tahap keselamatan persekitaran sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar menimba ilmu.
“Nyawa pelajar tidak seharusnya menjadi taruhan akibat kecuaian atau kelemahan dalam pengurusan.
“Sekolah mesti menjadi zon selamat, bukan ruang yang mendedahkan mereka kepada risiko kehilangan nyawa,” katanya ketika dihubungi di sini.
Selain merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa, katanya, GPMS Negeri Sembilan turut menuntut agar pihak Kementerian Pendidikan, Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan serta pentadbiran sekolah mengambil langkah segera dalam melaksanakan audit keselamatan infrastruktur sekolah secara menyeluruh, khususnya melibatkan kemudahan berisiko. – KOSMO! ONLINE