fbpx
Delegasi Malaysia berlepas dari Itali menaiki kapal Conscience milik FFC menuju ke Gaza.

Gelombang ketiga Sumud Flotilla bawa delegasi Malaysia ke Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Gelombang ketiga misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) diteruskan menerusi pelayaran membawa pelbagai aktivis dan sukarelawan pelbagai kepakaran ke Gaza.

Pelayaran itu melibatkan wartawan antarabangsa, pakar perubatan, ahli Parlimen serta aktivis ke Gaza di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, sebanyak 10 bot berlepas dari Itali pada 27 September 2025 di bawah koordinasi FFC x TMTG.

Kapal Conscience pula dilancarkan dari Porto Otranto, Itali semalam dengan penyertaan delegasi antarabangsa termasuk dari Malaysia.

Katanya, mereka ditempatkan di dua buah kapal iaitu kapal layar Umm Saad dan kapal Conscience.

“Bagi kapal layar Umm Saad yang digerakkan oleh FFC bersama TMTG, Malaysia diwakili oleh Dr. Maziah Mohammad, seorang doktor perubatan.

“Sementara itu, kapal Conscience menempatkan barisan lebih besar delegasi negara yang diketuai oleh Prof Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali selaku Ketua Misi.

“Turut serta ialah Dr. Fauziah Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, dan Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi yang masing-masing berkhidmat sebagai doktor perubatan,” katanya, hari ini.

Tambahnya, misi tersebut turut disertai oleh wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah Prof Dr. Mohd Afandi Salleh dan Dr. Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

“MyCARE menyeru rakyat Malaysia memberikan sokongan sepenuhnya dan membantu menyebarkan maklumat mengenai pelayaran ini.

“Gaza sedang memerlukan para pakar perubatan dan wartawan untuk memperlihatkan keadaan sebenar yang berlaku di sana,” katanya.

Misi ini turut mencatatkan sejarah peribadi buat beberapa peserta dan merupakan penyertaan kali kedua buat Dr. Fauziah Hassan, selepas beliau ditahan oleh tentera rejim Israel pada 2016, manakala Prof Dr. Mohd Afandi Salleh pernah mengalami nasib sama pada 2018.

“MyCARE merayu doa seluruh rakyat Malaysia agar misi flotila kali ini berjalan dengan lancar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN