BUKIT KAYU HITAM – Trend anak muda berhibur dan ‘melayan’ dadah di Thailand memberi kesan jangka panjang termasuk memiliki rekod jenayah yang boleh menjejaskan masa depan mereka sekiranya ditangkap pihak berkuasa.
Pakar Kriminologi, Dr. Zalmizy Hussin berkata, pada permulaan, ketagihan hiburan dan dadah boleh memberi kesan kepada prestasi akademik seperti kerap ponteng kelas, mengantuk kerana pulang lewat malam atau gagal menyiapkan tugasan.
“Namun, lama-kelamaan pelajar akan mula hilang fokus belajar, sukar menumpukan perhatian dalam kelas dan prestasi peperiksaan merosot.
“Dari sudut psikologi dan kesihatan, dadah seperti ganja, pil khayal atau bahan terlarang lain boleh menjejaskan daya ingatan, keupayaan berfikir kritis dan tahap motivasi,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, apabila fungsi kognitif terganggu, pelajar bukan sahaja kehilangan peluang untuk cemerlang dalam akademik, malah berisiko tercicir daripada sistem pendidikan.
Anak yang ketagih hiburan atau dadah ‘membuka ruang’ kepada masalah disiplin, konflik dan hilang rasa hormat kepada ibu bapa. Keadaan itu menimbulkan tekanan emosi, kewangan dan sosial kepada keluarga yang terpaksa berdepan dengan stigma masyarakat.
Bagi institusi pendidikan pula, trend itu akan menjejaskan suasana pembelajaran kerana pelajar yang keciciran, ponteng atau gagal akademik akan memberi kesan kepada standard pencapaian sekolah dan universiti.
“Lebih parah jika pelajar ditahan positif dadah semakin kerap dilaporkan, reputasi institusi itu sendiri akan tercalar,” katanya.
Justeru beliau menasihatkan orang muda supaya berfikir panjang mengenai kesan di sebalik keseronokan sementara itu.
“Usia remaja dan awal dewasa penuh dengan rasa ingin tahu, mahu mencuba dan tarikan untuk kelihatan cool di mata rakan-rakan. Namun ia boleh bawa kesan besar yang berpanjangan.
“Berkunjung ke kelab malam, berkongsi rokok atau mencuba dadah mungkin satu pengalaman, tetapi boleh menjadi titik mula kepada ketagihan yang menjejaskan kesihatan, pelajaran dan kerjaya,” katanya.
Selain risiko terjebak dadah, golongan muda juga terdedah kepada dieksploitasi oleh sindiket.
Kosmo! semalam melaporkan anak-anak muda seawal belasan tahun kini menjadikan selatan Thailand terutama Danok dan Hatyai sebagai tempat untuk berhibur, mengambil alkohol dan dadah berikutan kewujudan pelbagai premis hiburan yang ditawarkan di negara itu.
Kos perjalanan dan penginapan rendah, kewujudan pelbagai jenis dadah murah, pusat hiburan dan akses ke sempadan yang dekat menjadikan dua lokasi itu sebagai tumpuan rakyat Malaysia pada hujung minggu dan cuti panjang.
Kebebasan yang ditawarkan termasuk aktiviti pelacuran, rumah urut, disko dan hiburan yang kebanyakan dilarang di negara ini, menjadikan dua bandar sempadan ini ‘syurga’ hiburan golongan tua dan muda.














