BINTANG naturalisasi negara, Liridon Krasniqi akhirnya ‘membuka mulut’ menuntut Malaysia bersikap lebih berani mempertahankan diri membabitkan isu hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sebagai pemain yang pernah berbangga menyarung jersi Harimau Malaya, Krasniqi yang lebih dikenali sebagai Matdon tidak boleh berdiam diri semasa skuad negara berdepan detik sukar ketika ini.
“Apa yang paling menyedihkan saya adalah apabila melihat keadaan seperti ini. Kita tidak sentiasa bersatu sebagai sebuah negara.
“Sekarang bukan masa untuk berpecah, ini masa untuk semua rakyat Malaysia, pemain, penyokong, media, kerajaan dan semua orang berdiri bersama.
“Jika kita tidak mempertahankan diri sendiri, orang lain tidak akan melakukannya. Sokong pemain, pasukan, bendera kita.
“Kita tidak akan biarkan tekanan luar menghalang kebangkitan Malaysia. Kita berjuang bersama-sama kerana kita adalah Malaysia. Berani kerana benar,” katanya.
Bekas bintang Kedah dan Johor Darul Ta’zim itu juga mengakui bingung dengan hukuman dikenakan oleh FIFA terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan sedangkan badan induk bola sepak dunia itu sebelum ini sudah meluluskan pemain berkenaan.
“Malaysia melakukan segalanya dengan betul, setiap dokumen, prosedur, langkah diikuti dengan kerjasama kerajaan kita, FAM dan FIFA sendiri. Ini bukan tentang kertas kerja lagi, ini tentang maruah, integriti, bangsa yang telah bangkit,” katanya. – KOSMO! ONLINE