KUALA LUMPUR – Ekonomi dunia dijangka berdepan cabaran besar menjelang dekad akan datang apabila populasi menua terus menekan pertumbuhan, manakala hampir separuh penduduk global masih tidak menikmati perlindungan sosial asas.
Amaran itu disuarakan wakil Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) semasa membentangkan Perkembangan dan Trend Global dalam Keselamatan Sosial sempena Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 di sini kelmarin.
Kaunselor Kanan kepada Pengarah dan Ketua Bahagian Dasar Sosial, Pekerjaan, Buruh dan Hal Ehwal Sosial Direktorat OECD, Monika Queisser berkata, perubahan demografi dijangka menyebabkan penurunan sehingga 14 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita menjelang 2060 sekiranya tiada langkah pembaharuan dilaksanakan.
“Pertumbuhan KDNK per kapita sudah merosot daripada satu peratus setahun pada 2010 kepada 0.6 peratus setahun bagi tempoh 2024 hingga 2060.
“Keadaan ini akan menjejaskan keupayaan negara menampung kos pencen, penjagaan kesihatan dan penjagaan jangka panjang,” katanya.
Menurut beliau, tiga pendekatan utama perlu diambil segera iaitu meningkatkan kadar penyertaan pekerja berusia, menggalakkan wanita bekerja sepenuh masa dan memperluas pengambilan tenaga kerja migran.
“Jika jurang gender ditutup sepenuhnya, KDNK per kapita boleh meningkat sehingga sembilan peratus menjelang 2060. Ini peluang yang tidak boleh dipandang ringan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah, Jabatan Perlindungan Sosial ILO, Shahrashoub Razavi mendedahkan, hampir 3.8 bilion penduduk dunia termasuk wanita dan kanak-kanak masih tidak mempunyai sebarang perlindungan sosial.
Beliau berkata, seorang daripada lima penganggur layak menerima bantuan pengangguran, manakala faedah keluarga hanya dinikmati kurang sepertiga kanak-kanak.
“Negara paling terdedah kepada krisis iklim, khususnya pulau kecil merekodkan kadar perlindungan sosial di bawah 10 peratus iaitu jauh ketinggalan daripada purata global 52.4 peratus,” terang Razavi.
Tambah beliau, pertumbuhan ekonomi yang tidak seiring dengan penciptaan pekerjaan berkualiti boleh menyebabkan ramai pekerja terjerumus dalam sektor tidak formal, sekali gus menyukarkan pembiayaan sistem perlindungan sosial.
“Tanpa pekerjaan berkualiti, sistem perlindungan sosial tidak dapat dibiayai secara mampan dan tanpa perlindungan sosial, negara berisiko terdedah kepada kejutan ekonomi serta perubahan iklim,” tegasnya.
WSSF 2025 yang berlangsung selama lima hari bermula 29 September, menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab perbincangan antarabangsa mengenai perlindungan sosial dengan mengangkat tema ‘Shaping Social Security for a World in Transition’.
Ia merupakan anjuran Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta disokong oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Lebih 2,000 peserta hadir mewakili 253 institusi dari 133 negara, termasuk menteri, ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal dan wakil badan antarabangsa bagi membincangkan cara masyarakat berdepan cabaran penuaan, gangguan teknologi, risiko perubahan iklim serta dinamik pasaran buruh yang kian mencabar. -KOSMO! ONLINE