PRESIDEN Persatuan Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir menepis khabar angin yang mendakwa pihaknya terlibat dalam keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Erick yang juga Menteri Pemuda dan Olahraga (Menpora) menegaskan badan induk bola sepak negara republik itu tidak pernah campur tangan dalam menguruskan hal negara lain termasuk Malaysia.
Kata Erick, Indonesia menghormati semua negara Asia Tenggara yang berusaha meningkatkan mutu sukan masing-masing.
“Kami tidak intervensi, tidak ikut campur isu-isu negara lain dan kita tidak ikut campur dengan politik atau kebijakan negara lain, mohon maaf, kalau kami di Indonesia ingin olahraganya (sukan) maju.
“Kami ingin bola sepak Indonesia maju, badminton bagus, pencak silat mendunia. Tapi kami (sesekali) tidak ikut campur isu negara lain.
“Secara peribadi, kita tentu harus menghargai semua negara di Asia Tenggara ketika ingin olahraganya maju. Kita harus hargai,” kata Erick dipetik portal CNN Indonesia.
Sebagai rekod, FIFA telah menghukum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan yang menyertai revolusi Harimau Malaya tahun ini.
Tujuh pemain berkenaan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala pemain diarahkan membayar denda CHF2,000 (sekitar RM10,000).
Lebih malang, semua pemain tersebut juga dikenakan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak, berkuatkuasa serta-merta. – KOSMO! ONLINE