PETALING JAYA – Sindiket penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport yang dipercayai mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian hasil cukai kira-kira RM350 juta sejak 2020 hingga 2025 digempur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Grip itu diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara Malaysia serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, hari ini.
Menurut sumber, operasi berkenaan menyasarkan syarikat-syarikat pengimport tayar, gudang serta kontena penyimpanan tayar.
“Hasil serbuan, SPRM membekukan akaun persendirian dan akaun syarikat berjumlah kira-kira RM70 juta.
“Siasatan turut menumpukan usaha mengesan dan menyita aset lain yang dipercayai diperoleh syarikat pengimport tayar atau pegawai kastam menerusi aktiviti penggubahan wang haram,” katanya, hari ini.
Menurutnya, isu tayar terpakai tidak menepati piawaian boleh diumpamakan sebagai ‘bom jangka’ kerana menjejaskan keselamatan pengguna dan berisiko menyebabkan kemalangan.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan serbuan tersebut.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE