JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Kotawaringin Timur, wilayah Kalimantan Tengah resah apabila berita mengenai penampakan hantu penanggal hangat diperkatakan, lapor laman berita Prokal semalam.
Dalam sebuah video tular di laman sosial, sebilangan penduduk dilihat berkumpul di luar rumah untuk mencari makhluk itu.
Ada yang melihat ke langit, malah ada yang memberitahu bahawa mereka tidak berani tidur di rumah kerana bimbang melihat penanggal.
Seorang penduduk dikenali sebagai Zahra berkata, mereka mencari hantu penanggal tersebut, namun ia tidak ditemukan.
“Sejumlah orang memilih untuk berjaga malam demi memastikan keselamatan ahli keluarga.
“Walaupun belum ditemukan, kami berjaga-jaga kerana di sini ada ramai wanita hamil,” katanya kepada laman berita Klik Kalteng.
Beberapa hari sebelum itu, sebuah video tular di media sosial memaparkan susuk dipercayai penanggal dikatakan terbang di kampung berkenaan.
Namun, tiada sebarang pengakuan dibuat oleh mana-mana pihak mengenai penampakan makhluk itu, membuatkan keasliannya diragui.
Menurut kepercayaan masyarakat setempat, penanggal atau kuyang yang hanya mempunyai kepala, muncul pada waktu malam untuk mencari darah atau bayi yang baru lahir sebagai makanan. – AGENSI