PETALING JAYA – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel tidak boleh diturunkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Menerusi kenyataan hari ini, MFL menjelaskan pihaknya sudah mendapat makluman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tiga pemain berkenaan.
“MFL hari ini mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada FAM berhubung keputusan penggantungan tujuh pemain warisan selama 12 bulan oleh FIFA.
“Berdasarkan keputusan FIFA itu, MFL mengesahkan bahawa tiga pemain daripada JDT yang turut terlibat iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel tidak boleh beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia sepanjang tempoh penggantungan.
“Tindakan susulan bagi kes ini hanya akan dibuat MFL apabila keputusan rayuan FAM diumumkan oleh FIFA selepas ini,” katanya.
Selain digantung, semakan yang dilakukan menyaksikan Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan tujuh pemain berkenaan diarahkan membayar denda CHF2,000 (sekitar RM10,000) setiap seorang dan FAM juga perlu membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta). – KOSMO! ONLINE