fbpx
Anwar ketika berucap pada WSSF 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Genosid Israel jejas asas keselamatan sosial dunia – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pengusiran berterusan keluarga Palestin di Gaza bukan berpunca daripada faktor perubahan iklim, sebaliknya tindakan Israel yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta melanggar prinsip kemanusiaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, genosid yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin menuntut kecaman jelas dan tegas.

Beliau berkata, ia bukan sekadar isu politik, tetapi pencabulan berat hak asasi manusia yang turut menggugat asas keselamatan sosial global.

“Perbuatan ini menjejaskan hak setiap insan terhadap keselamatan, maruah, dan akses kepada perkhidmatan penting.

“Membincangkan keselamatan sosial tanpa mengakui ketidakadilan sistemik ini menjadikan wacana kita kosong dan tidak memadai,” katanya ketika berucap pada Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap keberanian individu yang menyertai flotila ke Gaza, yang menurutnya menjadi simbol penentangan terhadap penindasan dan tanda solidariti luar biasa bersama rakyat Palestin.

Katanya, penyertaan aktivis antarabangsa, termasuk dari Malaysia, membuktikan pentingnya tanggungjawab kolektif global untuk menentang keganasan negara serta mempertahankan hak rakyat Palestin.

“Malaysia konsisten mengecam pendudukan Zionis dan kolonialisme penempatan di Palestin.

“Komitmen ini merentas sempadan negara, mengukuhkan idea bahawa solidariti dalam gerakan sosial adalah penting. Diskusi berkesan mengenai keselamatan sosial dunia mestilah mengiktiraf dan mengintegrasikan realiti ini,” tegasnya.

Seramai 34 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza bagi menyalurkan bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan.

Kebanyakan kapal pelayaran GSF dilaporkan telah pun memasuki zon kuning menuju ke Gaza serta dijangka berdepan dengan sebarang kemungkinan ancaman Zionis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN