NEWCASTLE – Pasukan Arsenal terus memberi tekanan kepada Liverpool selepas menang dramatik 2-1 ke atas Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium St. James Park itu, skuad The Gunners bermula garang apabila Ebereche Eze melakukan rembatan deras tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Nick Pope.
Kemudian, Pope dipersalahkan kerana menjatuhkan Victor Gyokeres pada minit ke-15 di dalam kotak penalti tetapi pengadil membuat pusingan ‘U’ selepas meneliti video bantuan pengadil (VAR).
Nasib Arsenal bertambah malang apabila The Magpies meraih gol pertama hasil penyudah penyerang baharu, Nick Woltemade selepas menerima hantaran Sandro Tonali pada minit ke-34.
Bersambung pada babak kedua, The Gunners kendalian Mikel Arteta terus mengasak kubu tuan rumah dan hanya dapat menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Mikel Merino pada minit ke-84.
Tuah ternyata memihak kepada Arsenal untuk meraih tiga mata berharga selepas pemain pertahanan, Gabriel meledak gol kemenangan hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Martin Odegaard sebelum wisel penamat ditiupkan.
Keputusan 2-1 kekal sekali gus menyaksikan Arsenal kini mengutip 13 mata dengan dua mata dibezakan berbanding The Reds selepas mengharungi enam perlawanan. – KOSMO! ONLINE