SEREMBAN – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan telah menggerakkan audit keselamatan sekolah berikutan tragedi seorang murid lelaki berusia sembilan tahun yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, di sini semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat insiden berkenaan dan laporan terperinci akan dikemukakan dengan segera untuk tindakan serta siasatan lanjut.
“Ini adalah satu tragedi yang amat menyedihkan dan menyentuh hati kita semua, khususnya berkaitan keselamatan anak-anak di sekolah.
“KPM telah pun menggerakkan audit keselamatan sekolah melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan, dan perkara ini sedang berada dalam radar pemantauan kami.
“Kejadian ini memberi kita satu lagi perhatian cukup penting. Kami akan pastikan langkah sewajarnya diambil supaya ia tidak berulang,” katanya kepada pemberita selepas menziarah keluarga Allahyarham Abdul Fattah Khairol Rizal di Kampung Masjid Lenggeng di sini, hari ini.
Beliau pada masa sama turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta penghargaan kepada semua pihak termasuk Muhammad Arsyad Jahaya, yang membantu menyelam ke dalam lubang kumbahan dalam usaha mengeluarkan murid terbabit dalam kejadian semalam.
Abdul Fattah Khairol Rizal, 9, dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan ketika menyertai kejohanan sukan olahraga di sebuah sekolah di Lenggeng, semalam. – KOSMO! ONLINE