JAKARTA – Program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) di wilayah Jawa Barat sekali lagi menjadi perhatian orang ramai apabila ujian makmal mendedahkan bahawa hidangan itu mengandungi bakteria berbahaya, lapor portal berita Viva.
Pejabat Kesihatan Jawa Barat dan Makmal Kesihatan Wilayah (Labkesda) mengesahkan sebanyak 200 sampel telah diambil dari beberapa sekolah dan dapur yang menyediakan makan tengah hari itu.
Antara sampel yang diuji termasuk nasi, sayur-sayuran, daging dan sup dengan kesemuanya mengandungi pencemaran mikrobiologi.
Terdapat 27 kes keracunan direkodkan di 12 kabupaten dan bandar yang melaksanakan MBG.
Ketua Labkesda Jawa Barat, Ryan Bayusantika Ristandi berkata, ujian mikrobiologi pada sampel makanan MBG mendedahkan kehadiran dua bakteria berbahaya.
“Ujian kimia mendapati paras nitrit dalam makanan mencapai lapan peratus, jauh melebihi standard keselamatan dan berpotensi menimbulkan masalah kesihatan yang serius terutamanya kepada kanak-kanak,” kata Ryan.
Tambah Ryan, pencemaran itu dipercayai berlaku akibat penyimpanan dan pemprosesan makanan yang tidak berkualiti.
“Kami mengesyorkan tukang masak dan pembekal makanan MBG untuk mendapatkan pensijilan khas bagi mengelak kejadian serupa berulang,” tambahnya. – AGENSI