fbpx
ALISSON (tengah) mendapat pujian Slot kerana menggagalkan banyak percubaan Palace biarpun akhirnya tewas 1-2 kelmarin. - AFP

EPL: Liverpool berhak kalah – Slot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui Crystal Palace sememangnya berhak untuk mendapatkan kemenangan 2-1 ke atas pasukannya pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park kelmarin.

Slot berpendapat anak-anak buahnya gagal menampilkan permainan lebih baik di mana Palace juga sepatutnya mampu untuk mendapatkan lebih banyak jaringan.

“Palace berhak untuk menang kerana mereka adalah pasukan yang lebih baik berbanding kami di babak pertama. Mereka patut dapat tiga atau empat gol tetapi kami perlu berterima kasih kepada Alisson Becker (penjaga gol Liverpool).

“Dari aspek yang lebih positif, kami mencipta banyak peluang. Di babak kedua, situasi sedikit berbeza dan kami juga sudah merasakan aksi kali ini akan berakhir dengan keputusan seri.

“Jika kami mahu bersaing, kami perlu ada keseimbangan termasuk dalam situasi bola mati. Ini menjadi kekuatan utama kami musim lalu dan sekarang kami bolos dua kali dalam situasi itu sekali gus menuntut kami tampil lebih baik lagi selepas ini,” katanya.

Walaupun masih memimpin carta EPL, Slot menjelaskan beliau menuntut reaksi balas segera daripada barisan pemainnya selepas menyaksikan rekod bersih The Reds di awal musim ini sudah pun berakhir.

Sebagai rekod, Liverpool menang kesemua tujuh perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan, namun kini terpaksa akur rekod cemerlang tersebut lebur dan menyaksikan hanya Palace muncul satu-satunya pasukan EPL yang masih belum tewas.

“Kami adalah pasukan yang sentiasa bekerja keras untuk bersaing. Walaupun tidak memperoleh mata, kali ini juga kami boleh ambil sesuatu untuk jadikan kami pasukan yang lebih baik,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN