RAMAI yang menumpukan kepada negara-negara kuasa besar yang memberi pengaruh kepada kestabilan ekonomi dan keselamatan dunia.
Namun, negara ‘kecil’ iaitu Malaysia juga sebenarnya memberikan pengaruh sangat penting dalam pelbagai aspek kepada banyak negara merangkumi sumber air, kepakaran teknologi, pertanian, pembuatan, kewangan, perundangan dan pelbagai lagi. Tanpa sokongan Malaysia, negara-negara terlibat berpotensi ‘lumpuh’ pada aspek tertentu antaranya ekonomi dan boleh mencetuskan pelbagai kekacauan.
Minggu ini CitaRasa kongsikan lima negara paling bergantung kepada Malaysia seperti dilaporkan YouTube Velora Routes dan dikongsikan TikTok islandbiz. Video yang bersenarai penuh 11 negara itu boleh mengubah pandangan kita tentang Malaysia dan betapa ‘survival’ beberapa negara tertakluk kepada bumi bertuah Malaysia.
1- India
PERGANTUNGAN India kepada Malaysia lebih daripada yang dibayangkan kerana berkait asas kehidupan manusia apabila 45 peratus minyak masak negara itu datang dari Malaysia. Bermakna, 600 juta keluarga India bergantung kepada ladang sawit Malaysia untuk makanan harian mereka. India mengimport 9.2 juta tan minyak sawit Malaysia setiap tahun. Pakar pertanian India telah menghabiskan dua dekad dan berbilion dolar untuk cuba membangunkan alternatif domestik sendiri tetapi gagal ekoran kondisi tanah, cuaca dan infrastruktur pertanian yang tidak mampu menampung skala besar.
Semasa krisis makanan global pada tahun 2008, eksport minyak sawit Malaysia yang berterusan ke India mencegah beberapa negeri India berhadapan kebuluran ketika negara-negara lain menghentikannya untuk menjaga bekalan dalam negara masing-masing. Kementerian Pertanian India sifatkan pergantungan ini ‘secara strategiknya tiada ganti’.
Jika Malaysia hentikan eksport minyak sawit ke India esok, dalam tempoh sebulan saja, harga minyak masak di negara itu akan meningkat tiga kali ganda sekali gus keluarga kelas pertengahan dan seluruh industri makanannya akan sengsara.
2- Vietnam
APABILA syarikat multinasional mula meninggalkan China semasa konflik perdagangan mutakhir, mereka tidak berpindah terus ke Vietnam seperti andaian kebanyakan orang. Sebaliknya, syarikat logistik Malaysia, firma guaman dan perunding pembuatan kendalikan 60 peratus daripada semua pemindahan dari China ke Vietnam.
Malaysia telah jadi orang tengah tak kelihatan yang memudahkan transformasi rantaian bekalan terbesar dalam sejarah ekonomi moden. Ini berikutan pengalaman industrialisasi yang telah dilalui Malaysia berdekad-dekad lalu. Menurut ASEAN Investment Report, pelaburan langsung asing yang mengalir melalui Malaysia ke Vietnam meningkat sebanyak 340 peratus sejak 2020. Syarikat-syarikat Malaysia sediakan rangka kerja perundangan, kepakaran kawal selia, penyelarasan logistik dan perkhidmatan kewangan yang memboleh peralihan besar-besaran ini. Produk berlabel ‘made in Vietnam’ selalunya ada penglibatan ekstensif Malaysia dalam pengurusan rangkaian bekalan, jaminan kualiti, latihan pekerja dan lain-lain.
3- Emiriyah Arab Bersatu
DUBAI bercita-cita untuk menjadi pusat kewangan Islam global berjalan sepenuhnya dengan instrumen kewangan dan rangka kerja undang-undang rekaan dari Malaysia yang kebanyakan orang tidak pernah mendengarnya. Bon sukuk dan pelaburan kenderaan patuh Islam bernilai lebih AS$180 bilion (RM756 bilion) di seluruh dunia menggunakan struktur kawal selia dan undang-undang yang dibangunkan oleh pakar kewangan Islam dari Malaysia.
Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam yang beribu pejabat di Malaysia menunjukkan bahawa inovasi Malaysia menerajui keseluruhan industri kewangan Islam global. Sektor perbankan Islam UAE telah berkembang 400 peratus sejak menggunakan model kewangan Malaysia, rangka kerja perundangan dan pendekatan kawal selia.
4- Ghana
TRANSFORMASI industri koko di Ghana yang luar biasa berlaku kerana saintis pertanian Malaysia menyelesaikan penapaian kompleks dan cabaran kawalan kualiti yang telah membelenggu petani Ghana selama beberapa generasi.
Apabila pakar Malaysia perkenalkan teknik penapaian baharu, sistem kawalan kualiti dan kaedah pemprosesan lepas tuai semuanya berubah pada 2019. Koko yang sebelum ini dijual sebagai komoditi gred rendah, kini dijual sebagai gred premium terus kepada pengeluar coklat di Eropah.
Kepakaran Malaysia membantu Ghana meningkatkan penarafan kualiti koko negara sebanyak 35 peratus mengikut standard organisasi koko dunia. Pendapatan petani koko bukan saja bertambah, malah tiga kali ganda dalam tempoh dua tahun. Transformasi itu beri kesan kepada lebih 800,000 keluarga petani koko di Ghana yang kini keluar daripada kemiskinan. Pasukan pakar Malaysia beri sokongan berterusan kepada petani koko Ghana dalam mendepani cabaran mendatang.
5- Jepun
INDUSTRI automotif Jepun telah membangunkan pergantungan rahsia terhadap inovasi Malaysia yang jauh lebih mendalam. Bateri hibrid Toyota Prius menggunakan bioplastik berasaskan sawit yang dibangunkan secara eksklusif di makmal penyelidikan di Malaysia. Beratus sistem hibrid bergantung kepada komponen buatan Malaysia yang tidak boleh diperoleh di tempat lain dengan spesifikasi kualiti dan harga yang diperlukan.
Laporan komprehensif 2023 oleh organisasi perdagangan luar Jepun mengenal pasti lebih 200 komponen automotif kritikal oleh pengeluar kereta Jepun diperoleh secara eksklusif hanya daripada pembekal di Malaysia. Tanpa kita sedar kereta buatan Jepun sebenarnya lebih Malaysia daripada yang anda bayangkan! Komponen stereng menggunakan campuran polimer yang dibangunkan Malaysia. Dashboard elektronik menggunakan sirkit pemasangan Malaysia, bahkan tempat duduk juga menggunakan bahan kimia sawit.
Syarikat automotif Jepun telah melabur lebih AS$12 bilion (RM50 bilion) dalam kemudahan pembuatan di Malaysia merangkumi pusat penyelidikan dan program pembangunan tenaga kerja.