PENDAPATAN lumayan sebagai pencipta kandungan tidak pernah melunturkan tekad gadis Pesona Ahad minggu ini, Nur Alya Khairina Mohd. Sofi untuk menimba ilmu.
Bagi Alya, pelajaran sentiasa menjadi keutamaannya walaupun kerjaya sampingan sebagai content creator sering dianggap jalan mudah ke dunia glamor.
Gadis berusia 23 tahun ini menanam azam melanjutkan pengajian hingga Doktor Falsafah (PhD) demi mengejar cita-cita bergelar pensyarah.
Kepada Kosmo! Ahad, Alya berkongsi mengenai perjalanan hidupnya.
KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan tentang diri Alya?
Alya: Saya merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan merupakan penuntut semester akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pemasaran, Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Sebelum itu saya menuntut dalam bidang Pengurusan Sukan di Kolej Poly-Tech Mara Bangi.
Kenapa dua bidang itu menjadi pilihan Alya?
Saya pilih Pengurusan Sukan sebab peluang, selain pengalaman khususnya olahraga. Bidang Pemasaran pula kerana mempunyai kaitan dengan kerjaya saya sebagai pencipta kandungan. Jadi ia membantu saya memahami strategi pemasaran, tingkah laku pengguna dan cara menguruskan jenama dengan lebih berkesan.

Sejak bila terlibat dalam dunia pencipta kandungan?
Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan saya tidak dapat pulang ke rumah, jadi disebabkan bosan saya mula menghasilkan content seperti outfit of the day (OOTD). Tak sangka beberapa jenama besar mula memberi perhatian. Pendapatan saya bermula RM6,000 dan mencecah RM20,000 bergantung kepada jumlah kolaborasi.
Cabaran menjadi sebagai pencipta kandungan?
Pengurusan masa sebab saya perlu seimbangkan antara pelajaran, keluarga, dan deadline kempen atau jenama.
Cabaran lain adalah idea dalam menghasilkan content yang segar, kreatif, dan relevan dengan penonton. Saya anggap ia sebagai proses pembelajaran. Dari sini saya menjadi lebih disiplin, teratur, dan belajar berkomunikasi dengan pelbagai pihak, termasuk jenama besar.
Nasihat Alya kepada mereka yang mahu bergelar content creator?
Jangan anggap kerjaya ini jalan yang mudah. Memang nampak glamor, tapi realitinya penuh dengan cabaran dan ketidakpastian. Jika ada ilmu, ia akan menjadi backup plan penting untuk masa depan.
Ciri-ciri lelaki idaman?
Mempunyai rasa tanggungjawab, mampu menjadi pelindung dan penyokong, memiliki budi pekerti yang baik dan menghormati orang di sekelilingnya. Sifat-sifat ini penting kerana mencerminkan kematangan dan keikhlasan dalam membina sebuah hubungan.
Siapakah Alya dalam masa 10 tahun akan datang?
Saya berhasrat untuk menyambung pelajaran sehingga ke peringkat PhD. Saya bercita-cita mahu menjadi pensyarah kerana ingin berkongsi ilmu dan pengalaman dengan orang ramai.
Namun begitu, kerjaya content creator dilakukan secara sambilan kerana bidang ini merupakan sebahagian daripada perjalanan kerjaya dan minat saya.















