PENGGEMPUR Harimau Malaya, Rodrigo Holgado dan kelab yang diwakilinya, America de Cali sedia untuk melakukan rayuan selepas pemain terbabit digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selama 12 bulan berkuat kuasa semalam.
Holgado antara yang terjejas selepas diberikan peranan untuk menjadi salah seorang tunjang dalam kesebelasan utama kelab Liga Colombia itu pada tahun ini.
Namun, pengurusan El Rojo dalam satu kenyataan mengesahkan sedia untuk melakukan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam proses rayuan yang bakal dihantar ke FIFA dalam masa terdekat.
“Kami telah menerima hukuman daripada FIFA ke atas Holgado untuk menggantung pemain ini selama 12 bulan daripada terlibat dengan aktiviti bola sepak.
“FAM dan Holgado bakal melakukan rayuan kepada Jawatankuasa Disiplin FIFA dan harap ia dapat diteliti oleh pihak berkecuali.
“Jabatan Undang-Undang pasukan akan terus bekerjasama dengan FAM untuk memastikan kelancaran proses rayuan nanti,” menurut kenyataan tersebut.
Pemain utama kelab Deportivo Alaves, Facundo Garces turut dikenakan hukuman sama yang boleh menjejaskan reputasinya selepas dianggap antara pertahanan terbaik La Liga musim ini.
Situasi sama turut dihadapi pemain sayap Velez Sarsfield, Imanol Machuca yang memberikan impak besar untuk memastikan kelab itu menjuarai trofi Piala Super Argentina awal bulan ini.
Bagaimanapun, pengurusan Alaves dan Velez Sarsfield masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai status pemain mereka.
Selain tiga pemain itu, empat lagi tonggak Harimau Malaya turut menerima nasib malang iaitu tiga bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jon Irazabal, Hector Hevel, Joao Figueiredo dan seorang lagi yang kini mewakili kelab liga bawahan Sepanyol, Gabriel Palmero.
JDT juga dianggap terkesan dengan hukuman itu kerana Irazabal, Hevel dan Figuieredo adalah tunjang utama skuad kendalian Xisco Munoz pada musim ini. – KOSMO! ONLINE