KUALA LANGAT – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menilai potensi perubatan tradisional peribumi untuk diiktiraf di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775].
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pengiktirafan itu dilihat mampu menjadikan perubatan peribumi sebagai rawatan alternatif kepada perubatan moden sedia ada.
“Perkara ini perlu dicermati dengan bijak. Kami juga mengambil kira kebimbangan pengamal perubatan peribumi termasuk isu hak intelek serta perkongsian keuntungan,” katanya, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Jalinan MADANI: Pemerkasaan Perubatan Tradisional Orang Asli Semenanjung, Anak Negeri Sabah dan Anak Negeri Sarawak di sini.
Menurut beliau, sehingga kini lebih 373 peserta daripada 25 komuniti peribumi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah terlibat dalam sesi libat urus berbentuk dialog terbuka serta lawatan lapangan bersama pengamal perubatan tradisional.
“Kesemua dapatan ini akan dikumpul untuk dibuat pemetaan bagi mengenal pasti kepakaran dan potensi rawatan tertentu yang boleh dijadikan rujukan, contohnya dalam rawatan ortopedik,”jelasnya.
Dzulkefly berkata, sebelum ini tujuh bidang perubatan alternatif telah diletakkan asas kawal selia menerusi Akta 775 termasuk perubatan Melayu, Cina, India, homeopati, kiropraktik, osteopati dan pengubatan Islam.
Beliau memberi jaminan KKM akan mempermudah urusan bagi mengiktiraf perubatan tradisional peribumi sebagai perubatan komplementari. – KOSMO! ONLINE