GEORGE TOWN – Pakar penyelidikan hidupan liar tidak menolak kemungkinan masih ada spesies buaya tembaga atau nama saintifiknya crocodylus porosus di kawasan perairan Teluk Bahang di sini, susulan penemuan seekor reptilia jantan itu, baru-baru ini.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shahrul Anuar Mohd. Sah berkata, kajian saintifik telah membuktikan bahawa buaya tembaga mempunyai keupayaan luar biasa dan berupaya merentas laut sejauh ratusan kilometer.
Menurutnya, buaya tembaga sememangnya berasal dari habitat muara sungai dan paya bakau selain disenaraikan sebagai Hidupan Liar yang Dilindungi Sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Penemuan buaya tembaga di kawasan pantai itu tidak menolak kemungkinan wujudnya buaya lain yang turut berupaya berbuat demikian.
“Walau bagaimanapun, kepastian hanya dapat diperoleh melalui tinjauan di lokasi serta pemantauan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Dalam pada itu, jelasnya, buaya tembaga sememangnya berasal dari habitat muara sungai dan paya bakau, namun berdasarkan kajian pula menunjukkan spesies itu memanfaatkan arus permukaan laut untuk bergerak jauh dengan lebih berkesan.
“Oleh itu, penemuan seekor buaya di Teluk Bahang boleh dijelaskan sama ada haiwan itu sedang mengikuti arus laut semasa atau sedang berpindah secara semula jadi untuk mencari kawasan jelajah baharu.
“Berdasarkan pergerakan ekologi, buaya menjadikan laut sebagai laluan atau ‘koridor’ untuk berpindah antara muara, sungai atau habitat lain. Walaupun laut bukan habitat kekalnya, ia tetap berperanan sebagai ruang transit yang digunakan untuk survival,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai status keselamatan pantai Teluk Bahang, beliau berkata, kawasan pantai itu tidak semestinya dianggap berbahaya secara kekal kepada pelancong.
“Kehadiran seekor buaya tembaga dewasa di kawasan tersebut memang menimbulkan risiko, namun tindakan pantas pihak berkuasa menangkap haiwan berkenaan serta langkah pemantauan berjaya mengurangkan ancaman dengan cepat.
“Oleh itu, kawasan itu masih boleh dikunjungi, dengan syarat pelancong sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan.
“Walaupun kemunculan buaya di pantai popular di Pulau Pinang itu adalah jarang berlaku, tetapi ia tetap berkemungkinan dan perlu ditangani dengan pemantauan serta langkah berjaga-jaga yang sesuai, pada masa hadapan, sekiranya kemunculan seperti ini menjadi lebih kerap,” katanya.
Tambahnya, pemantauan berkala oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta kerjasama orang ramai dalam melaporkan sebarang penemuan mampu memberikan perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pengunjung dan penduduk setempat.
Selasa lalu, penduduk kawasan Teluk Bahang gempar dengan penemuan seekor buaya yang muncul di kawasan pantai Teluk Bahang, kira-kira pukul 3.30 petang.
Reptilia seberat hampir 100 kilogram itu akhirnya berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan bomba, polis dan nelayan pantai kira-kira pukul 6.15 petang














