PETALING JAYA – Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail tetap kental di sebalik ujian paling besar dalam hidupnya apabila menjuarai Piala Samho di Korea Selatan, sehari selepas bapanya menghembuskan nafas terakhir.
Rafiq, 27, menewaskan pilihan tuan rumah, Lim Seung-won 256-224 di pentas final, sekali gus merangkul salah satu gelaran paling berprestij dalam kalendar boling dunia.
Namun, kemenangan itu diraih dalam linangan air mata apabila bapanya, Ismail Nimat, 72, disahkan meninggal dunia akibat masalah buah pinggang di Hospital Ampang pada jam 11.34 pagi semalam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Selangor.
Lebih memilukan, Rafiq tidak sempat pulang menatap wajah arwah buat kali terakhir kerana komitmen menggalas cabaran negara di Korea.
Piala Samho dikenali sebagai antara kejohanan paling sukar kerana menghimpunkan pemain terbaik Asia dan dunia, menjadikan kejayaan itu penuh bermakna buat Rafiq dalam suasana duka.
Kemenangan tersebut juga menambah koleksi gemilangnya selepas menjuarai Terbuka Singapura pada Jun lalu, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai tonggak utama skuad boling negara.
Bagi Rafiq, gelaran di Korea bukan sekadar trofi tetapi hadiah terakhir yang penuh makna buat arwah bapanya iaitu kenangan abadi seorang anak kepada ayahnya. KOSMO! ONLINE