KETIKA ini tumpuan masyarakat dunia yang mengikuti perkembangan misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza tertumpu kepada situasi di perairan Greece dan Libya menghampiri perairan negara dijarah Zionis itu.
Selepas hampir sebulan belayar menaiki kapal kecil dan bot, 54 pengangkutan yang membawa sukarelawan demi mesej memecahkan sekatan Israel terhadap pemberian bantuan kepada rakyat Palestin kini berdepan sebarang kemungkinan.
Biar diugut dengan letupan dron pada Rabu lalu serta beberapa cubaan lain sebelum itu, semangat sukarelawan termasuk 34 orang dari Malaysia tetap membara.
Antaranya adalah selebriti Malaysia termasuk Zizi Kirana, Heliza Helmi, Ardell Aryana serta, Farah Lee yang sanggup meninggalkan keluarga serta berdepan risiko demi misi keamanan sejagat.
Begitupun, walau tidak turun ke medan perang membantu saudara seagama, ramai artis tanah air tetap menunjukkan solidariti mereka terhadap Palestin menerusi pelbagai cara.
Anuar Zain
PENYANYI tersohor, Anuar Zain pernah dilantik sebagai Duta Kemanusiaan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) sempena kempen Palestine Rays of Hope tahun lalu.
Kempen tersebut bertujuan mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin yang bergelut dengan krisis kekurangan makanan dan keperluan asas serta berdepan musim sejuk.
Usaha tersebut juga bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan mendesak mereka yang terjejas, bahkan meningkatkan kesedaran ramai tentang cabaran kemanusiaan yang berterusan di Palestin.

Zahirah MacWilson
PERNAH berlaga bahu dengan aktres popular Hollywood, Gal Gadot juga penyokong kuat Israel di sebuah acara di luar negara, pelakon Zahirah MacWilson memadam gambar mereka berdua dalam Instagram.
Tolak ke tepi kecaman dilemparkan kepadanya ketika kontroversi itu berlaku sekitar empat tahun lalu, pujian juga wajar diberikan kepadanya kerana membuat keputusan tersebut.
Zahirah juga kemudian tampil bersuara mengenai kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin yang teruk dizalimi tanpa belas kasihan oleh tentera Israel.
Faizal Tahir
GIAT dengan kerja amal sejak kecil mengikut jejak bapa, penyanyi Faizal Tahir melalui gerakan kemanusiaan iamFaithmen dan kerjasama syarikat rakaman, Faithful Music menganjurkan majlis khas bagi mengumpul dana di bawah Faith4Palestine.
Berlangsung di Royale Chulan, Damansara dua tahun lalu, acara tersebut juga menzahirkan solidariti rakyat Malaysia terhadap isu penjarahan di bumi Palestin berdekad-dekad lamanya.
Faizal juga anak kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Allahyarham Dr. Mohd. Tahir Abdul Rahman mengadakan showcase yang berjaya mengumpul RM25,437.22. Barangan peribadi miliknya termasuk trofi, kasut serta dua gitar kesayangan memperoleh bidaan sebanyak RM15,022.99.
Datuk Seri Siti Nurhaliza
AKTIF membantu saudara sedarah di Palestin, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Jiwa membina sebuah sekolah dinamakan Sekolah Afwa Al-Aafiyah di bawah Yayasan Nurjiwa.
Sekolah yang dikendalikan beberapa guru termasuk sukarelawan tempatan, Dr. Mohanad sejak dua tahun lalu kini tetap beroperasi di pusat penempatan sementara selepas bangunan terkena serangan bom.
Walaupun sudah berpindah randah beberapa kali akibat situasi yang semakin meruncing, Siti masih dapat berkomunikasi dengan wakil di sana bagi memantau keadaan lapan guru serta lebih 100 murid. Selain warga Sekolah Afwa Al-Aafiyah, pihak yayasan juga tidak lupa menghulurkan bantuan buat penduduk Gaza lain yang terjejas.