PETALING JAYA – Selepas akhirnya berjaya menemukan sebuah rumah yang dirasakan cukup tepat sebagai kediaman baharunya di London, pelakon Janna Nick berdoa agar dikurniakan cahaya mata bersama suaminya, pelakon Dini Schatzmann.
Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 30, berharap kediaman dengan kadar sewa RM22,690 sebulan diharapkan menjadi saksi rezeki baharu dalam rumah tangga mereka.
“Semoga dekat persekitaran dan rumah yang baru, kami berjaya dapatkan baby (anak),” katanya dalam Instagram.
Dalam hantaran sama, Janna dan Dini dilihat sibuk berpindah masuk ke rumah baharu selepas dua minggu tinggal di apartment penginapan.
Perkongsian tersebut dihujani doa peminat yang mendoakan agar Janna dikurniakan zuriat dalam masa terdekat.
“Semoga dengan persekitaran yang baru, Allah tiupkan satu roh kecil dalam Rahim Janna nanti,” kata peminat.
“Biasa orang berhijrah ini Allah bagi rezeki luar biasa. Semoga termakbul doa Janna dan Dini,” ujar pengikut.
“Semoga rezeki Janna dapat baby di tempat orang. Balik Malaysia nanti bukan berdua tapi bertiga, amin,” doa peminat lain.
Difahamkan, pemilik rumah produksi Janna Nick Studios itu memaklumkan dia dan suaminya tinggal di luar negara bagi menyambung pengajian.
Sebelum ini, Janna mengurangkan aktiviti lakonan kerana memberi fokus kepada usaha mendapatkan zuriat selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
Dia juga pernah menangis teresak-esak meminta agar berhenti bertanyakan soal anak selain mendedahkan sudah setahun menjalani rawatan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), namun gagal.
Untuk rekod, Janna dan Dini mendirikan rumah tangga pada 10 Jun 2023 dalam sebuah majlis tertutup di Langkawi. – KOSMO! ONLINE