ALOR SETAR – Cubaan membawa masuk 25 tan ayam sejuk beku dari negara jiran gagal selepas kegiatan itu dikesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam satu pemeriksaan di sempadan, semalam.
Dalam pemeriksaan kira-kira pukul 11.40 pagi itu, 2,084 kotak berisi bahagian dada ayam tanpa tulang sejuk beku bernilai RM200,000 ditemukan dalam sebuah lori kontena.
Timbalan Komander (Pengurusan) AKPS Bukit Kayu Hitam, Dr. Mohd. Khairul Anuar Roselan berkata, siasatan awal mendapati nombor rujukan sijil halal yang tertera tidak sepadan antara dokumen yang dibekalkan dan pada bungkusan produk.
“Ketidaksamaan itu menimbulkan keraguan terhadap status halal ayam berkenaan. Pihak berkuasa percaya dokumen tersebut mungkin palsu atau mengelirukan. Kita menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya ketika ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Menurut beliau, sitaan tersebut adalah yang terbesar daripada tujuh kes sepanjang tahun ini dan semua ayam sejuk beku yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia Kedah untuk siasatan lanjut.
“Ayam sejuk ini dipercayai dibawa untuk untuk dihantar ke kilang memproses makanan berasaskan ayam dan restoran jadi penting untuk kita memastikan keterjaminan dan keselamatan produk ini yang akan sampai kepada masyarakat nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE