PUTRAJAYA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merekodkan nilai jualan pasar tani berjumlah lebih RM215 juta bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2025.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pasar tani kini telah berkembang kepada 229 lokasi di seluruh negara dengan penyertaan seramai 5,618 usahawan.
“Sasaran nilai jualan tahunan sekitar RM330 juta, dengan pencapaian setakat ini telah mencapai 65 peratus daripada sasaran,” katanya kepada kepada pemberita pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-40 Peringkat Kebangsaan di sini tadi.
Menurut Mohamad, pencapaian itu bukan sahaja melibatkan hasil usahawan semata-mata, sebaliknya meliputi sokongan berterusan daripada FAMA.
Katanya, sokongan FAMA itu turut dibuat melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dalam memperkukuh daya saing serta memperluas capaian pasar tani.
“Pasar tani terus memainkan peranan penting membantu rakyat mendapatkan bahan makanan pada harga berpatutan sambil memberi pasaran lebih baik kepada petani.
“Daripada fasa pengenalan, pengukuhan, pemodenan hinggalah ke fasa transformasi dan inovasi hari ini, pasar tani telah membuktikan keupayaannya sebagai platform penting pemasaran produk agromakanan tempatan,” katanya.
Mohamad berkata, usaha memodenkan pasar tani kini turut merangkumi platform digital dan kerjasama dengan Grab melalui aplikasi GrabMart yang membolehkan penghantaran produk segar terus kepada pengguna secara dalam talian.
“Daripada segi pencapaian, nilai jualan yang direkodkan meningkat daripada RM90,000 pada 2023 kepada hampir RM700,000 pada 2024 dan tahun ini kita mensasarkan nilai jualan mencapai sehingga RM1.5 juta,” katanya.
Jelas beliau, peranan FAMA melalui pasar tani turut terbukti sebagai nadi penting dalam membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup.
“Langkah itu bukan sahaja memastikan bekalan makanan asas sentiasa mencukupi, malah memberi peluang kepada rakyat untuk menikmati penjimatan sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran biasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE