KUANTAN – Jurulatih skuad futsal negara, Rakphol Sainetngam puas selepas usaha tiga tahun berakhir dengan kejayaan apabila pasukan layak ke Piala Asia Futsal 2026 di Indonesia tahun depan.
Biarpun tewas 0-4 kepada Iran, status Malaysia untuk layak secara merit ke Piala Asia Futsal 2026 tidak tergugat selepas berada di kedudukan keenam dalam senarai tujuh pasukan tangga kedua terbaik.
“Kita telah bekerja keras selama ini dan saya gembira membawa Malaysia dalam pentas Piala Asia sekali lagi dan selepas bekerja keras selama tiga tahun, ada satu hasil yang dapat,” kata Rakphol semalam.
Skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia selepas muncul naib juara pada sesi kelayakan Kumpulan G selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-0 dan membenam Bangladesh 7-1 sebelum tewas 0-4 kepada Iran.
Pencapaian itu menamatkan penantian Malaysia untuk membuat penampilan di pentas Piala Asia selepas kali terakhir beraksi pada edisi 2018 di Taiwan. – KOSMO! ONLINE