fbpx
MELIHAT zuriat sendiri semakin menyerlah dengan bakat seni, Suriati berasa bangga dan terkenangkan zaman dulu-dulu ketika dia masih membintangi banyak drama televisyen.

‘Sangat bangga, dia sambung, warisi bakat seni saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pernah popular menerusi drama-drama bersiri Spektra sekitar era 1990-an, Suriati Baharom sebak melihat anak perempuannya, Camelia dapat meloloskan diri sebagai peserta program realiti Dewi Remaja 2025.

Melihat kemaraan anaknya, Suriati mengakui seperti mengimbas kembali zaman pembabitannya dalam industri seni suatu ketika dahulu.

“Saya sangat bangga dia menyambung dan mewarisi bakat saya di arena seni. Dalam keluarga, dia satu-satunya yang berminat dalam bidang lakonan.

“Bila ada seorang anak seperti ini, saya teringat zaman muda dahulu, terutama sewaktu aktif membintangi drama.

“Alhamdulillah, apa yang saya impikan Allah dengar. Terima kasih kepada Astro yang bagi peluang kepada Camelia untuk kembangkan bakat dimiliki,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media Dewi Remaja 2025, semalam.

Bekas isteri kepada pengarah Khir Mohd. Nor turut mendedahkan, bakat Camelia mula terserlah sejak di sekolah menengah dan puterinya juga sering menemaninya ke lokasi penggambaran ketika kecil.

“Sejak di bangku sekolah lagi dia dah tunjukkan minat berlakon. Dahulu masa saya jalani penggambaran drama, dia pun ikut.

“Kadang dia bawa watak budak kecil. Bila di tingkatan lima dia mula berlakon filem sampai sekarang dia masih minat bidang sama,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Camelia menolak dakwaan kononnya mampu lolos ke pertandingan terbabit hanya kerana berstatus pelakon selain merupakan anak artis.

Tegasnya, terpilih bersama calon lain adalah disebabkan bakat serta usahanya yang menjadi kunci utama bahkan kerja keras juga yang membolehkannya masih bertahan dalam arena lakonan.

“Saya rasa ini bukan mudah. Kita kena ada usaha, kalau tiada bakat dan kerja keras orang akan menyampah apabila di set penggambaran.

“Saya tetap kena tahu ilmu, pergerakan dan reaksi dalam lakonan. Jadi bila orang cakap (emak artis), saya tak setujulah sebab bukan mudah dia dalam industri ini, banyak juga cabaran.

“Mencabar dari segi babak yang kadang-kadang saya nak buat. Contohnya menangis. Pengalaman itulah sebenarnya yang mengajar saya untuk pertingkatkan lagi lakonan,” jelasnya.

Anak jati Selangor itu memaklumkan penyertaannya dalam Dewi Remaja adalah untuk mencungkil dan mengasah lagi bakat walaupun sebelum ini pernah membintangi dua filem iaitu Mimaland dan Banglo 99.

“Sebenarnya saya mahu Dewi Remaja ini daripada lepas sekolah lagi tapi rasa diri tak cukup matang. Takut masuk main-main saja dalam industri, jadi buang masa.

“Sekarang saya dah 24 tahun, Dewi Remaja pula had umur sampai 25 tahun saja jadi macam rugi tak sertai. Saya pun dalam bidang lakonan agak lama sudah enam tahun.

“Rasa inilah masanya dan saya rasa dah cukup matang untuk sertai Dewi Remaja dan mama pun selalu sokong saya untuk sambung legasi sebagai pelakon,” tuturnya.

Camelia akan berentap dengan 11 lagi peserta dalam pertandingan mencari ratu itu iaitu Dheper, Nylea, Marisa, Elisa Chew dan Teya. Peserta lain yang bakal bersaing termasuklah, Suhaila, Ariana, Ellysa Ramlee, Sharmaine, Nelysa Kay serta Fittri.

Dewi Remaja 2025 akan bersiaran pada 10 Oktober depan pukul 10 malam di Astro Ria serta strim secara On Demand di Astro GO dan sooka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI