WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merancang untuk menghantar angkasawan bagi menjalankan misi mengelilingi Bulan selama 10 hari seawal Februari tahun depan, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
NASA sebelum ini merancang untuk melakukan misi Artemis II tersebut pada penghujung April 2026, namun ia diawalkan kepada Februari.
Pemangku Timbalan Pentadbir Bersekutu NASA, Lakiesha Hawkins berkata, program tersebut akan menjadi detik bersejarah dalam penerokaan manusia di angkasa lepas.
“Tahap kesiagaan roket dan kapsul membolehkan pelancaran lebih awal, namun keselamatan kekal sebagai keutamaan kami,” kata Hawkins.
Pengarah Pelancaran Artemis, Charlie Blackwell-Thompson menjelaskan bahawa roket Space Launch System (SLS) telah bersedia, manakala kapsul Orion perlu menjalani ujian darat.
Empat angkasawan yang dipilih ialah Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch dan Jeremy Hansen dari Agensi Angkasa Kanada.
Mereka bagaimanapun tidak akan mendarat di Bulan, sebaliknya akan menjadi kru pertama yang mengembara melepasi orbit rendah Bumi sejak misi Apollo 17 pada tahun 1972.
“Mereka akan pergi sekurang-kurangnya 9,200 kilometer melepasi Bulan, jauh lebih tinggi daripada misi sebelumnya,” kata Ketua Pengarah Penerbangan Artemis II, Jeff Radigan. – AGENSI