IPOH – Dua buah pusat hiburan di negeri ini diserbu selepas dipercayai melanggar hak cipta karya berdaftar yang digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan komersial semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan pada pukul 6 petang itu dilaksanakan hasil maklumat dan aduan oleh wakil pemilik hak cipta.
“Pemeriksaan yang dilakukan menemukan set karaoke mengandungi salinan pelanggaran karya rakaman filem, bunyi dan lagu yang digunakan bagi tujuan perniagaan.
“Wakil pemilik hak cipta melakukan pengesahan awal ke atas set karaoke tersebut dan premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987,” katanya di sini hari ini.
Kesemua set karaoke, monitor dan dokumen disita untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan di dua premis tersebut dianggarkan berjumlah RM31,870. – KOSMO! ONLINE