fbpx
Kon Yeow merasmikan Penang Week, Osaka Expo 2025 di Osaka, Jepun, hari ini.

P. Pinang pamer projek RM5 bilion, tarik pelabur Jepun di Ekspo Dunia Osaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengetengahkan projek pembangunan bernilai RM5 bilion bagi menarik pelabur Jepun sempena Minggu Pulau Pinang di Pavilion Malaysia, Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada pelan strategik PDC 2024 hingga 2028 yang telah sedia untuk ditawarkan kepada pelabur antarabangsa.

“Antara projek yang dipamerkan termasuk The Coast, mercu tanda tepi laut mampan bernilai RM839 juta dan Penang Linear Waterfront, projek promenade (persiaran) tepi laut bernilai RM9.8 bilion,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas pelancaran rasmi Minggu Pulau Pinang di Osaka.

Menurut beliau, turut dipamerkan ialah projek Penang International Logistics Aeropark (PILA), Medi-City di Bandar Cassia, Taman Perindustrian Batu Kawan 3 dan GBS di Technoplex.

“Penyertaan Pulau Pinang di ekspo tersebut akan memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab serantau dalam pembangunan berteknologi tinggi, mampan serta destinasi pelancongan.

“Pameran ini sekali gus boleh mengukuhkan kedudukan kita sebagai enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Selain itu, katanya, Pulau Pinang juga menampilkan keupayaan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) dengan membawa tiga syarikat tempatan iaitu Tenasic, SiliconX dan SkyeChip untuk menyertai seminar pelaburan serta sesi padanan perniagaan bersama pelabur Jepun.

Dalam perkembangan sama, katanya, PDC menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Federal Express Services (M) Sdn. Bhd. (FedEx) dan DHL Express (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi merealisasikan projek PILA di Batu Maung.

“Sementara itu, dua syarikat tempatan, Solar Voltech Sdn. Bhd. dan Atlantic Blue Sdn. Bhd. turut memeterai MoU bernilai RM120 juta dengan Shizen International Inc,” katanya.

Kon Yeow berkata, FedEx dan DHL dipilih sebagai rakan strategik bagi menjayakan PILA, justeru delegasi Pulau Pinang akan turut melawat Taman Logistik Kansai pada Jumaat ini bagi meneliti operasi dan amalan terbaik.

“Selain mengetengahkan peluang pelaburan, Pulau Pinang turut memperkenalkan produk tempatan seperti Jeruk Madu Pak Ali, fesyen Peranakan moden Kenny Loh Couture serta aksi kulinari unik Roti Canai Terbang yang menerima sambutan hangat di Pavilion Malaysia.

“Jepun kekal sebagai rakan dagang utama dengan nilai perdagangan mencecah RM14 bilion pada 2024 manakala dalam tujuh bulan pertama tahun ini sahaja telah merekodkan RM8.3 bilion, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur Jepun terhadap Pulau Pinang,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI